WELCOME

TANPA DURI DAN RANJAU KITA TAKKAN MENGHARGAI KEJAYAAN

Pages

Rabu, 13 Januari 2010

Islam Mahukan Umatnya Cemerlang

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Ayat ini telah ditujukan kepada 'Amir bin at-Tufail dan Ar-bad bin Robiah yang telah melakukan pakatan untuk membunuh Baginda s.a.w tetapi akhirnya masing-masing mati akibat penyakit taun dan dipanah petir disiang hari sewaktu panas terik.

Ayat ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja hanya boleh mengubah nasibnya dengan mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri. Apakah keadaan yang ada dalam diri kita yang boleh diubah? Apakah warna kulit dan paras rupa? Pastinya tidak... Sebaliknya apa yang perlu diubah ialah sikap dan cara fikir kita. Apabila kita ubah sikap dan cara fikir bermakna kita ubah nasib kita. Sikap yang buruk seperti malas, mungkir janji, ambil mudah, tangguh kerja dan sebagainya apabila diamalkan secara berterusan akan menjadi peribadi dan akhirnya membentuk budaya sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang agung dan maju mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh, gigih, berdisiplin dan komitmen kerja yang tinggi. Mereka juga mempunyai cara fikir yang positif seperti sentiasa optimis, berfikiran terbuka, merebut peluang dan mempunyai prinsip hidup yang juga positif. Sikap yang positif ini hanya boleh terbentuk dengan adanya ilmu pengetahuan. Sebab itulah, satu bangsa yang berilmu dapat dilihat lebih positif sikap dan cara fikirnya jika dibandingkan dengan mereka yang rendah tahap pendidikannya. Malah ilmu kecemerlangan diri juga perlu dicari dan dipelajari dengan melihat dan belajar dari mereka yang telah berjaya sebelum kita. Umat Islam dahulunya adalah umat yang berjaya sehingga lahirnya tokoh-tokoh Islam yang dikagumi barat seperti Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Ibn Khaldun dalam bidang sosial, Al-Khawarizmi, dalam bidang matematik, Al-Farabi dalam bidang falsafah, dan ramai lagi. Sikap, cara fikir, ketaqwaan dan komitmen kerja tokoh-tokoh ini perlu diselami dan dipelajari kiranya masyarakat Melayu yang beragama Islam mahu cemerlang dalam cabaran hidup hari ini.

Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
At-Tiin 95:4

Dengan kejadian yang begitu sempurna dan sebaik ini maka mustahillah untuk orang Islam merasa rendah diri dan gagal dalam hidupnya. Malah orang Islam sepatutnya menjadi khalifah dibumi Allah ini. Menjadi pemimpin dan bukannya dipimpin. Semua masalah ini dapat diatasi dan diselesaikan sekiranya kita memahami hakikat diciptanya manusia seperti mafhum firman Allah:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Adz-Dzaariyaat 51:56

Ayat ini jelas menyatakan bahawa semua manusia dicipta dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Beribadah dengan benar-benar memahami tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Bukan sahaja mengakui bahawa Allah yang mencipta semua makhluk termasuk kita tetapi juga hanya Dia-lah sahaja yang layak dan berhak disembah. Islam tidak menghadkan konsep ibadah ini kepada hanya ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah apa sahaja yang dilakukan atas niat kerana Allah, mengikut syariat Islam dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan ummah maka perlakuan itu juga diterima sebagai ibadah dan layak menerima ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

Satu perkara yang mesti difahami dalam menjadikan kehidupan sebagai ibadah ialah melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Sebagai contoh, apabila kita mendirikan solat maka dirikanlah ia dengan bersungguh-sungguh, bertertib dan sebaik mungkin. Menjaga kesemua tigabelas rukun yang ada dan memperelokkannya dengan perkara-perkara yang sunat. Setelah itu, serahkanlah kepada Allah, InsyaAllah akan diterimaNya. Tetapi kalau solat itu didirikan sambil lewa, main-main dan ala kadar sahaja maka pastilah ia awal-awal lagi akan ditolak.

Hakikat solat ini juga mesti diamalkan dalam segenap ruang kehidupan sekiranya kita mahu kehidupan diterima sebagai satu ibadah. Sebagai contoh, kalau kita seorang pekerja maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, menepati waktu, berdisiplin, meletakkan komitmen kerja yang tinggi dan mengikut peraturan yang ada. Barulah kita dilihat sebagai pekerja yang layak dinaikkan pangkat. Inilah yang dikatakan pekerja cemerlang. Kerja kita juga diterima Allah sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia tetapi juga di akhirat. Begitu juga kalau kita seorang pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dengan memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan tugasan pada waktunya, dan rajin mengulangkaji pelajaran. Barulah belajar itu diterima sebagai ibadah seterusnya diberkati dan mendapat rahmat dari Ilahi. Keputusan peperiksaan juga akan cemerlang kerana kita bersungguh-sungguh dan melakukannya sebaik mungkin.

Mafhum firman Allah dalam al-Quran:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”
Al-Najm 53:39

Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap orang akan mendapat sekadar apa yang diamal dan diusahakannya. Oleh itu siapakah yang patut dipersalahkan apabila kita lihat masyarakat Melayu yang puratanya Islam gagal mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, ekonomi dan sosial? Pastilah yang salah adalah diri kita sendiri sedangkan Islam mahukan umatnya cemerlang.

Tidak ada penyesalan dalam usaha, yang ada hanyalah redha dan syukur. Kita menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Kita kesal atas dosa-dosa kita sama ada kecil atau pun besar. Tetapi kita tidak boleh menyesali atas apa yang kita perolehi. Sebab menyesal apa yang diperolehi setelah berusaha itu membuktikan yang kita tidak memahami apa yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Penyesalan berlaku kerana kita sendiri tahu yang kita tidak menggunakan seluruh potensi yang ada dalam diri kita. Kita sedar bahawa diri kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik dan layak menerima yang lebih baik juga. Tetapi kalau kita hayati erti ibadah yang telah dibincangkan awal-awal tadi maka penyesalan tidak akan berlaku kerana kita telah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri kita. Sebagai seorang Islam kita mesti jelas tentang konsep doa, tawakal, redha dan syukur. Untuk cemerlang, berusahalah sebaik mungkin, jadikannya ibadah dan kemudian barulah bertawakal. Dalam berusaha redhalah atas apa jua cabaran dan ujian. Bersyukurlah atas apa sahaja hasilnya nanti. Iringi usaha dengan memperbanyakkan doa kepada Allah.

Akhir kata, umat Islam perlu mencontohi kegigihan Nabi Muhammad s.a.w dalam berusaha memperjuangkan Islam. Apabila bapa saudara baginda Abu Talib memberitahu akan tentangan hebat yang diterima dari pemimpin Quraish maka Nabi s.a.w tetap bertegas mengatakan seandainya matahari diletakkan di tangan kanannya dan bulan diletakkan di tangan kirinya maka baginda tetap meneruskan perjuangan beliau, sehinggalah ditentukan Allah sama ada baginda berjaya atau mati dalam jalan tersebut. Begitulah teguhnya pendirian Rasulullah s.a.w. yang membawa kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Hanya dengan memahami Islam dalam ertikata yang sebenarnya sahajalah maka umat Islam hari ini akan cemerlang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan