WELCOME

TANPA DURI DAN RANJAU KITA TAKKAN MENGHARGAI KEJAYAAN

Pages

Ahad, 1 Mei 2011

Selasa, 2 Mac 2010

3 LANGKAH MELUPAKAN KESALAHAN ORANG YANG MENYAKITKAN HATI KITA

Memberi maaf memang mudah tapi nak melupakan habis apa yang orang dah buat pada kita seolah-olah tiada apa-apa, itu agak mencabar.

Saya tak suka kata susah, saya memilih untuk kata 'mencabar' sebab perkatan tu lebih positif. Menyebut perkataan 'susah' membuat kita terdorong untuk berfikiran negatif kerana bunyi perkataan tu agak negatif.

Dah jadi lumrah agak mencabar melupakan perangai orang yang menyakitkan hati kita. Tapi, jika Anda nak berjaya, nak menjadi orang hebat dalam bidang Anda sekarang ni dan Anda betul-betul nak berubah, Anda kena melatih diri untuk melupakan kesalahan orang.

Cemana nak melupakan?

Ikuti 3 langkah di bawah:

Langkah 1: Tutup cerita lama, buka cerita baru.

Yang dulu tu, dululah. Lupakan. Yang sekarang, sekarang.

Anggap perangai orang yang menyakitkan hati kita tu sebagai 'cerita lama' kerana ia berlaku di masa lepas (masa yang lama) dan sudah pun berlaku. Tak menyumbang pada kemajuan diri kalo diingat selalu.

Kita kena bukak cerita baru di masa kini (masa yang baru) dan elak untuk cakap balik cerita-cerita lama. Jadikannya sejarah hidup sahaja.

Langkah 2: Anggap setiap hari adalah hari yang baru dan tiada kaitan langsung dengan hari-hari buruk yang dah berlalu.

Jangan tarik balik keburukan lalu ke masa kini kerana ia akan mencemarkan kebahagiaan yang kita nak rasai pada hari ini, pada masa kini. Nak berjaya, kita perlu sentiasa bersemangat. Nak sentiasa bersemangat, kita perlu sentiasa gembira.

Kita akan jadi tidak gembira apabila kita selalu ungkit balik cerita-cerita di masa lepas, iaitu cerita lama kita. Maknanya, masa depan kita pun tak ada guna kalo macam tu sebab kita selalu ungkit balik cerita yang dah lama. Kesannya, tak majulah kita.

Jangan pandang belakang (ingat balik masa lalu) walau seburuk manapun situasi yang berlaku di masa lalu. Masa lalu biarlah kita tinggalkan supaya kita dapat membentuk masa depan yang lebih gemilang buat diri kita.

tiap kali ingatan kita terputar balik ke masa lalu, sebenarnya minda kita sedang memerangkap kita. Kita kena menguasai minda, bukan kita yang dikuasai minda melalui mainan emosi kita sendiri.

Langkah 3: Pendirian mesti mau kuat, fikiran kena matang.

Fikiran yang matang adalah fikiran yang dikuasai oleh rasional, bukan dikuasai oleh emosi. Fikiran kita ni bila dikuasai oleh emosi dan kita pun bercakap jadi agak beremosi, kesannya kita rasa sukar untuk melupakan kesalahan orang yang menyakitkan hati kita, walaupun cuma kesalahan kecil. Untuk mematangkan fikiran, Anda kena kawal emosi.

Setiap hari, latih diri untuk mengawal emosi dan elak untuk berkata dengan penuh emosi. Kawal rasa nak marah, kawal rasa geram, sakit hati serta perasaan-perasaan lain yang serupa dengannya kerana dengan mengawal semua emosi tu, kita sudah melatih diri untuk sentiasa berfikiran rasional, bukan befikiran emosional.

BAIK BURUK SANGKAAN KITA BAWA KESAN TERSENDIRI

BAIK BURUK SANGKAAN KITA BAWA KESAN TERSENDIRI

Bila kita berjumpa seseorang lalu dalam hati kita teringat balik perkara-perkara buruk tentang orang tu, hasilnya selepas itu  kita akan ditemukan dengan situasi yang buruk-buruk.

situasi yang buruk-buruk tu pulak terjadi tanpa disangka-sangka, misalnya kereta Anda pancit di tengah jalan yang sibuk, kunci Anda hilang, Anda dilanda masalah di tempat kerja, ada tiba-tiba jatuh tergelecet lalu mendapat luka, Anda terbuat silap yang besar punya kesilapan.

Bila Anda berterus-terusan bersangka buruk, Anda akan ditemukan dengan orang-orang yang berperangai buruk, benda-benda yang perkara-perkara buruk. Mesti kita tak nak semua ni berlaku kan sebab membebankan serta membuat kita kurang gembira. Lama-lama kita boleh jadi tertekan dibuatnya.

Bersangka baiklah dalam apa jua keadaan, bersangka baiklah pada setiap orang yang Anda lihat, orang yang Anda jumpa dan orang yang Anda bercakap dengannya. Mengapa? Supaya kita ditemukan dengan situasi yang baik-baik.

Sekarang, untuk kita keluar dari permasalahan, rasa rendah diri serta ketidakyakinan, mulakan perubahan dengan melatih diri untuk selalu bersangka baik walaupun seburuk manapun situasi, walau seburuk manapun perangai orang yang kita jumpa. Bersangka baik dapat merubah situasi yang berlaku disekeliling kita.

Syaratnya, kita kena terus menerus bersangka baik dan elak untuk bersangka buruk walaupun hanya sesaat, walaupun hanya seketika. Sangkaan buruk yang sedikit akan memadam terus sangkaan-sangkaan baik yang kita bina.

Gara-gara nila setitik, rosak susu sebelanga.


 

    

Rabu, 13 Januari 2010

Islam Mahukan Umatnya Cemerlang

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Ayat ini telah ditujukan kepada 'Amir bin at-Tufail dan Ar-bad bin Robiah yang telah melakukan pakatan untuk membunuh Baginda s.a.w tetapi akhirnya masing-masing mati akibat penyakit taun dan dipanah petir disiang hari sewaktu panas terik.

Ayat ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja hanya boleh mengubah nasibnya dengan mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri. Apakah keadaan yang ada dalam diri kita yang boleh diubah? Apakah warna kulit dan paras rupa? Pastinya tidak... Sebaliknya apa yang perlu diubah ialah sikap dan cara fikir kita. Apabila kita ubah sikap dan cara fikir bermakna kita ubah nasib kita. Sikap yang buruk seperti malas, mungkir janji, ambil mudah, tangguh kerja dan sebagainya apabila diamalkan secara berterusan akan menjadi peribadi dan akhirnya membentuk budaya sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang agung dan maju mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh, gigih, berdisiplin dan komitmen kerja yang tinggi. Mereka juga mempunyai cara fikir yang positif seperti sentiasa optimis, berfikiran terbuka, merebut peluang dan mempunyai prinsip hidup yang juga positif. Sikap yang positif ini hanya boleh terbentuk dengan adanya ilmu pengetahuan. Sebab itulah, satu bangsa yang berilmu dapat dilihat lebih positif sikap dan cara fikirnya jika dibandingkan dengan mereka yang rendah tahap pendidikannya. Malah ilmu kecemerlangan diri juga perlu dicari dan dipelajari dengan melihat dan belajar dari mereka yang telah berjaya sebelum kita. Umat Islam dahulunya adalah umat yang berjaya sehingga lahirnya tokoh-tokoh Islam yang dikagumi barat seperti Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Ibn Khaldun dalam bidang sosial, Al-Khawarizmi, dalam bidang matematik, Al-Farabi dalam bidang falsafah, dan ramai lagi. Sikap, cara fikir, ketaqwaan dan komitmen kerja tokoh-tokoh ini perlu diselami dan dipelajari kiranya masyarakat Melayu yang beragama Islam mahu cemerlang dalam cabaran hidup hari ini.

Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
At-Tiin 95:4

Dengan kejadian yang begitu sempurna dan sebaik ini maka mustahillah untuk orang Islam merasa rendah diri dan gagal dalam hidupnya. Malah orang Islam sepatutnya menjadi khalifah dibumi Allah ini. Menjadi pemimpin dan bukannya dipimpin. Semua masalah ini dapat diatasi dan diselesaikan sekiranya kita memahami hakikat diciptanya manusia seperti mafhum firman Allah:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Adz-Dzaariyaat 51:56

Ayat ini jelas menyatakan bahawa semua manusia dicipta dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Beribadah dengan benar-benar memahami tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Bukan sahaja mengakui bahawa Allah yang mencipta semua makhluk termasuk kita tetapi juga hanya Dia-lah sahaja yang layak dan berhak disembah. Islam tidak menghadkan konsep ibadah ini kepada hanya ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah apa sahaja yang dilakukan atas niat kerana Allah, mengikut syariat Islam dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan ummah maka perlakuan itu juga diterima sebagai ibadah dan layak menerima ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

Satu perkara yang mesti difahami dalam menjadikan kehidupan sebagai ibadah ialah melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Sebagai contoh, apabila kita mendirikan solat maka dirikanlah ia dengan bersungguh-sungguh, bertertib dan sebaik mungkin. Menjaga kesemua tigabelas rukun yang ada dan memperelokkannya dengan perkara-perkara yang sunat. Setelah itu, serahkanlah kepada Allah, InsyaAllah akan diterimaNya. Tetapi kalau solat itu didirikan sambil lewa, main-main dan ala kadar sahaja maka pastilah ia awal-awal lagi akan ditolak.

Hakikat solat ini juga mesti diamalkan dalam segenap ruang kehidupan sekiranya kita mahu kehidupan diterima sebagai satu ibadah. Sebagai contoh, kalau kita seorang pekerja maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, menepati waktu, berdisiplin, meletakkan komitmen kerja yang tinggi dan mengikut peraturan yang ada. Barulah kita dilihat sebagai pekerja yang layak dinaikkan pangkat. Inilah yang dikatakan pekerja cemerlang. Kerja kita juga diterima Allah sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia tetapi juga di akhirat. Begitu juga kalau kita seorang pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dengan memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan tugasan pada waktunya, dan rajin mengulangkaji pelajaran. Barulah belajar itu diterima sebagai ibadah seterusnya diberkati dan mendapat rahmat dari Ilahi. Keputusan peperiksaan juga akan cemerlang kerana kita bersungguh-sungguh dan melakukannya sebaik mungkin.

Mafhum firman Allah dalam al-Quran:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”
Al-Najm 53:39

Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap orang akan mendapat sekadar apa yang diamal dan diusahakannya. Oleh itu siapakah yang patut dipersalahkan apabila kita lihat masyarakat Melayu yang puratanya Islam gagal mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, ekonomi dan sosial? Pastilah yang salah adalah diri kita sendiri sedangkan Islam mahukan umatnya cemerlang.

Tidak ada penyesalan dalam usaha, yang ada hanyalah redha dan syukur. Kita menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Kita kesal atas dosa-dosa kita sama ada kecil atau pun besar. Tetapi kita tidak boleh menyesali atas apa yang kita perolehi. Sebab menyesal apa yang diperolehi setelah berusaha itu membuktikan yang kita tidak memahami apa yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Penyesalan berlaku kerana kita sendiri tahu yang kita tidak menggunakan seluruh potensi yang ada dalam diri kita. Kita sedar bahawa diri kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik dan layak menerima yang lebih baik juga. Tetapi kalau kita hayati erti ibadah yang telah dibincangkan awal-awal tadi maka penyesalan tidak akan berlaku kerana kita telah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri kita. Sebagai seorang Islam kita mesti jelas tentang konsep doa, tawakal, redha dan syukur. Untuk cemerlang, berusahalah sebaik mungkin, jadikannya ibadah dan kemudian barulah bertawakal. Dalam berusaha redhalah atas apa jua cabaran dan ujian. Bersyukurlah atas apa sahaja hasilnya nanti. Iringi usaha dengan memperbanyakkan doa kepada Allah.

Akhir kata, umat Islam perlu mencontohi kegigihan Nabi Muhammad s.a.w dalam berusaha memperjuangkan Islam. Apabila bapa saudara baginda Abu Talib memberitahu akan tentangan hebat yang diterima dari pemimpin Quraish maka Nabi s.a.w tetap bertegas mengatakan seandainya matahari diletakkan di tangan kanannya dan bulan diletakkan di tangan kirinya maka baginda tetap meneruskan perjuangan beliau, sehinggalah ditentukan Allah sama ada baginda berjaya atau mati dalam jalan tersebut. Begitulah teguhnya pendirian Rasulullah s.a.w. yang membawa kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Hanya dengan memahami Islam dalam ertikata yang sebenarnya sahajalah maka umat Islam hari ini akan cemerlang.